Hati Milik Allah

Saya nak cerita pasal kawan saya.

Saya ada sorang kawan yang saya sangat-sangat rapat. Saya rasa dialah kawan yang sentiasa dengar masalah saya, selalu dengar kisah dongeng kehidupan saya, selalu meminjam telinganya yang merah-merah dengar bebelan saya, dan dia tidak pernah jemu mendengar. Saya tak masukkan dia dalam entri ini sebab dia bukan seorang yang singgah kejap-kejap je dalam hidup saya, tetapi dia bersama-sama dengan saya 3 tahun lamanya. Dia tahu semua cerita saya dari A sampailah Z. Itulah kawan saya.

Kali pertama saya berkenalan dengannya, saya rasa dia ni baik sangat. Dia pandai bercakap pasal Islam, dia tahu banyak sangat benda. Sampaikan saya pernah terasa betapa ceteknya ilmu saya. Kadang-kadang saya malu dengan dia, sebab saya ni dah ikut tarbiyah, tapi ilmu saya banyak lagi keciciran. Tetapi dia, walaupun dia tak ikut D&T macam saya, tapi saya kagum dengan pengetahuan dia. MasyaAllah.


Saat itu saya tahu, dia adalah seseorang yang berguna untuk Islam. 3 tahun saya berkawan dengan dia. Saya bagi hint macam-macam bahawa dia ini adalah logam. Saya sharing kisah sahabat-sahabat nabi, saya sharing banyak sangat benda. Kadang-kadang, saya fikir banyak kali bila nak cakap pasal agama dengan dia, sebab saya memang terasa kerdil sangat dengan dia. Saya dapat rasakan dia tahu banyak benda cuma dia belum ada kekuatan untuk amalkan ilmunya tu. Sayang bukan? Sangat!

3 tahun saya cuba cucuk-cucuk dia. 3 tahun saya cuba bantu dia. 3 tahun saya berusaha untuk lakukan perubahan dalam dirinya. Saya cuba yang terbaik. Saya lakukan apa yang saya mampu. Biarpun segalanya nampak semakin mustahil. Saya juga ada rasa kecewa, saya manusia biasa yang punya perasaan dan lelah mula menyinggah. 3 tahun.. tempoh yang sangat lama.

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk berhenti. Saya tahu, walaupun jiwa dan hati saya meronta ingin melihat dia berubah, perasaan saya seringkali berlawan dengan kehendak saya, apakah yang patut saya lakukan? Saya yakin, saya telah cuba apa yang patut, dan hati itu benar-benar milik Allah. Hatinya hanya milik Allah dan selagi dia sendiri tidak ada keinginan untuk berubah, Allah tidak akan sesekali mengubah hatinya. Saya percaya, Allah telah banyak membantu dia, sejak dia belajar sampai dia kerja, saya dapat lihat betapa Allah cintakan dirinya. Tetapi, sampai sekarang bila saya kenangkan balik, kenapa tidak terdetik langsung dalam hatinya untuk melakukan perubahan, demi menunjukkan rasa syukurnya? Bukankah kita telah menzalimi diri kita kerana tidak mahu bersyukur? Cukupkah hanya dengan solat? Cukupkah hanya dengan puasa? Itupun kadang-kadang ponteng dengan sengaja.

Saya masih berkawan dengan dia, cuma saya sudah tidak mahu terus-menerus berharap sedangkan saya tidak nampak usahanya untuk berubah. Ya, mula-mula je perasaan tu ada, tetapi tidak istiqamah. Mustahil kita mampu istiqamah dalam keadaan kita bersendiri. Kita bukan nabi, yang mampu bertahan meredah ujian dunia seorang diri. Sedangkan nabi Muhammad SAW juga sering bersama sahabat-sahabat baginda dalam menyebarkan Islam. Apakah kita yang hina dan kerdil ini MAMPU untuk berdiri sendiri atas iman yang lemah ini?


Ya Allah, aku disini merayu padaMu. Kau bimbinglah dia. Kau bukakan pintu penyesalan buat dirinya. Kau izinkan hatinya disinar cahaya hidayahMu. Aku bermohon padaMu agar segala urusannya dipermudahkan agar dia dapat lihat betapa Engkau masih kasihkan dirinya, betapa Engkau sayang dan cintakan dirinya. Ya Allah, aku tahu Engkau mendengar suara hati ini. Aku tahu Engkau tidak pernah mengecewakan hambaMu. Aku tahu Engkau seringkali memberi nikmat yang terbaik buat hambaMu. Maka ya Allah, insan ini yang lemah lagi hina, dengan rasa rendah hati yang amat disisiMu, Kau perkenankanlah.


0 Shreks:

 
;