Renovate Hati


Dua hari tanpa berbuat apa-apa, menghasilkan aku yang layu. Sungguh iman itu sedang menurun. Biarpun aku cuba untuk top up semula dengan pembacaan buku-buku fikrah, dan tidak lupa membuka laman-laman tazkirah sebagai peringatan untuk diri. Namun itu semua hanya terkesan seketika, dan apabila bersendiri semula, ianya kembali menjadi penyakit!

Seorang adik bertanya, jika diberi pilihan untuk menyampaikan sesuatu pada orang lain, apa tajuk yang akan aku pilih. Jika buat sahabat akhawatfillah, tajuk paling sesuai adalah HATI. Aku meyaksikan keruntuhan ukhuwah dalam tarbiyah sangat menyesakkan dada. Aku mohon pada Allah, supaya hati-hati kami bersatu kembali. Hati adalah sesuatu yang cukup fragile, kadang-kadang boleh GILA hanya kerana hati yang tidak dijaga dengan baik. Hati kita dipegang oleh Pemilik kita. Jika kita tidak pandai menjaganya, Pemilik kita juga tidak teragak-agak untuk membiarkan hati kita tanpa dijaga dengan baik, nauzubillah. Kita yang memilih, kerana Allah telah memberikan jalan bagaimana untuk menjaga hati.


Hati yang terjaga adalah berpunca dari hubungan dengan Allah dijaga dengan baik. Solat fardhunya di awal waktu. Solat sunatnya seperti wajib. Solat-solat sunat lain baginya manis dan indah, sehingga rasa bersalah jika meninggalkannya. Qiyam bagaikan syurga yang indah menghiasi waktu tidurnya. Al-Quran pendamping yang sentiasa bersama, waktu susah dan senang sentiasa menjadi rujukan. Maathuratnya merupakan mentera terhebat buat dirinya berasa lebih yakin dengan janji Allah. Tidak lupa pada niatnya yang sentiasa terjaga, menjaga dan terus dijaga supaya tidak sia-sia amalannya. Ini adalah asas-asas yang sepatutnya perlu dijaga.

Tetapi bagi seorang daie, sepatutnya asas-asas ini telah selesai. Jika tidak mampu dilakukan setiap hari, sekurang-kurangnya dalam seminggu amalan-amalan sunat perlu diperbanyakkan. Dan niat paling banyak perlu dijaga kerana tugas daie itu, bukan sahaja dihadapan Allah, tetapi dihadapan sahabat-sahabat yang lain, dihadapan mad'u kita, dihadapan murobbi dan mutarobbi kita, dihadapan mas'ulah kita, dihadapan ameerah kita. Wah! Banyaknya hubungan yang perlu dijaga. Adakah kita telah menjaga hati-hati mereka supaya hati-hati kita juga dijaga oleh Allah?


Pernahkah kita terfikir, mengapa Allah menguji hati-hati kita semua?

Apa yang aku nampak, puncanya adalah hati yang tidak terjaga, maka Allah ingin kita LIHAT dan NILAI sendiri bahawa hati kita masih lemah, hati kita tidak dijaga dengan baik, hati kita sedang melalui frasa kegagalan, hati kita diserang perasaan selesa dan GAH, hati kita dihiasi dengan perasaan takbur, bongkak dan angkuh! Ya, itulah penyakit hati yang seringkali menyerang sahabat-sahabat akhawatfillah, termasuk aku, kamu dan kamu yang sedang membaca. Sudahkah kita periksa hati kita?


Benarkah kita sedang bekerja untuk Islam? Atau kita sedang bekerja untuk diri sendiri?

Kalau benar, apakah sudah ada pengorbanan IKHLAS yang telah/sedang kita lakukan? Atau kita masih lagi berkira-kira, adilkah aku seorang yang perlu berkorban? Atau kita masih menjaja-jaja pengorbanan dulu masih belum lagi terbalas sudah mengharapkan pengorbanan yang baru? Apakah pengorbanan itu perlu ada musimnya? Atau pengorbanan itu melalui perkiraan nombor? Oh ya, apakah definisi pengorbanan yang kita faham?


Benarkah kita seorang yang sedang berusaha, dan orang lain tidak berusaha langsung?!

Jika benar, buanglah perasaan itu. Jika benar, perbaikilah niat. Jika benar, berbaik sangkalah pada sahabat-sahabat. Jika benar, engkau sedang diserang penyakit hati! Engkau menuduh orang lain, tetapi engkau terlupa untuk perbaiki diri, perbaiki hubungan dengan Allah, perbaiki hubungan dengan sahabat-sahabat. Egonya engkau pada tarbiyah yang sedang memayungi, egonya engkau pada dakwah yang tidak seberapa. Buanglah ego itu, kerana usahamu hanya sebesar kapas lembut, yang mudah dicarik-carikkan. Ibarat usaha kita yang tidak seberapa dan mengharap pulangan yang hebat bertimpa-timpa, tetapi bila diuji dengan sedikit kesakitan, mudah saja goyah, sekelip mata sudah berubah, semudah itu iman kita dipermainkan. Nah, apakah masih lagi ingin menyalahkan orang lain?


Benarkah adik aku, tanggungjawab aku, adik kamu, tanggungjawab kamu?

Andai benar pernyataan ini, anda bukan seorang daie!! You are fired!!

Wallahualam.

0 Shreks:

 
;