Ikhtilat & FB

Sekarang sedang berfikir.

Pernah satu ketika, aku (sebab terasa dengan kata-katanya) pernah ditegur oleh naqibah sendiri. Hakikatnya beliau tidak menegur aku secara direct, tetapi ianya betul-betul tertusuk. Sebab apa? Ya, sebab apa lagi jika bukan disebabkan kelalaian dan kecuaian sendiri.


Semenjak dua menjak ni, banyak juga penulisan sama ada dalam blog, dalam note FB atau mungkin dalam mailing list, berupa teguran yang sama. Mungkin  kita tidak sedar bahawa sikap itu sedang membiak luas. Mulai saat ini, seharusnya kita tekad untuk cuba mengawal dan perbaki mana-mana kerosakan yang boleh membawa kepada rosaknya hati.

"Kalau di luar, kita bukan main tunduk dan tawadduk untuk mengawal pandangan kita. Tetapi kenapa di dalam FB, kita boleh bergelak, bergurau-senda, berbalas kata tanpa sedikitpun rasa segan dan silu. Bukankah kita telah melanggar etika seorang daie?"

Muqaddimah yang lancar keluar dari mulut naqibah yang sangat disegani. Masa tu juga, muka mula terasa panas, jantung berdegup kencang, mata sudah mula menakung air. Mungkin ini adalah petanda aku telah tergolong dalam golongan yang disebutkan.

Akhawat dan ikhwah, marilah kita menjaga pergulan kita bukan diluar sahaja, bahkan didalam alam maya juga perlu kita jaga. Kerana hati itu, bisa gugah bukan saja melalui pandangan, tetapi kata-kata kita juga bisa menggetarkan hati orang lain. Siapa tahu? Mencegah lebih baik dari mengubat. Apatah lagi, soal hati adalah perkara yang sangat sukar untuk diubat.



Dunia tanpa sempadan.

Pernah suatu ketika aku merasakan bahawa kehidupan maya ini mampu menggembirakan kita. Kita tidak perlu bersua muka, kita tidak perlu rasa takut disakiti, atau digoda hanya kerana perhubungan yang jauh walau berbatu-batu jarak antara 2 insan tersebut, bahkan kadang-kadang ia menjangkaui bilangan teman yang ramai. Cukup hanya kata-kata manis sebagai perangsang dan pengubat luka.

Tetapi sebenarnya, kehidupan maya ini boleh jadi penyakit. Bila kita sudah ketagih, ianya bertambah parah. Akhirnya kesan daripada perhubungan dengan sahabat jauh itu mencipta bibit-bibit suka. Bukan cinta, bukan sayang. Apatah lagi jika iman dan taqwa kita setipis selaput telur, mungkin lebih tipis lagi dari itu. Mudah saja terkoyak apabila disentuh.


Menyedari hakikat itu, semuanya aku buang. Supaya penyakit itu, tidak parah dan terus memarah. Aku tinggalkan dunia itu, untuk sementara. Aku menyepi dan terus bersama sepi. Tiada lagi gelak, tiada lagi riang, tiada lagi kata-kata manis. Cuma ada, tegas dan kepentingan.


Hari ini, aku tewas. Dunia ini rupanya menjadi kegunaan kita. Medan dakwah, medan ilmu, medan perhubungan. Aku mewujudkan semula rumah-rumah yang usang. Rumah hari ini, moga bermanfaat walau bukan untuk kamu, sekurang-kurangnya aku menegur diri. Tetapi maaf, aku tidak rajin mengunjung rumah kamu. Kerana sikap itu, aku sudah letih dan tidak mahu penyakit itu datang lagi. Maaf juga, aku hanya menjengah muka, tetapi tidak memberi salam, kerana aku suka pada keindahan rumahmu yang penuh dengan hikmah. Semoga tidak riak untuk menghias rumah-rumah kamu. Subhanllah, semakin banyak rumah yang indah-indah.

Berbanding dulu, rumah yang indah jarang-jarang ketemu. Hanya rumah biasa-biasa. Aku datang, hanya bertemu robot-robot yang hidup dengan bantuan bateri. Entah tahu entah tidak, siapa tuannya? Aku juga begitu, salah satu robot yang hidup di dalam rumah-rumah yang biasa.

Hari ini, aku tidak mahu lagi menjadi robot. Aku ingin menjadi manusia sebagaimana Tuanku pernah sebutkan di dalam buku peraturannya. Aku ingin jadi manusia, yang tahu matlamat dan tujuan hidup ini. Biarpun aku menumpang kehidupan maya, tetapi aku yakin kehidupan ini juga perancangan dari Tuanku. Jika tidak masakan aku bertemu dengan manusia-manusia yang kenal siapa tuannya.


8 tahun aku bersama-sama dengan maya, banyak yang aku belajar. Sudah tiba aku memberi laluan pada mereka yang baru, untuk membina rumah-rumah yang indah dan terus diperindahkan. Agar tetamu sejuk melihat, sejuk juga mencari hikmah itu.

Apabila kita ingin mengindahkan rumah kita, indahkan juga iman kita. Supaya iman itu dapat membantu kita untuk memperindahkan rumah. Rumah yang ikhlas, akan melahirkan pembaca yang ikhlas. Insyaallah.

Wallahualam.

2 Shreks:

nur hidayah said...

like this :)

TuanMudaKalsel.Com said...

nice to visit your blog and I like this post...

 
;