Percumakah?

Pernah tak rasa, satu minggu tu adalah minggu yang memenatkan dan melelahkan. Hari-hari tak ada mood sangat nak buat kerja. Antara sebabnya, asyik sakit kepala, mengantuk, sakit-sakit badan, tak bersemangat betul.

Katakanlah (Muhammad), "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam. [6:162]

Banyak perkara yang telah dan sedang berlaku sekarang ni. Kita telah diuji, sedang diuji dan akan terus diuji. Bukankah itu janji Allah pada orang-orang yang beriman? Sebagai seorang daie, kita perlu sentiasa bersedia dengan segala macam ujian yang bakal Allah turunkan. Bukan berharap, tetapi janji Allah itu pasti, pasti dan pasti.

Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? [29:2]

Daripada ujian yang Allah turunkan, banyak hikmah yang boleh kita ambil dan pelajari. Sakit, memang sakit. Tetapi dengan kesakitan itulah mendidik kita untuk berhati-hati di masa hadapan. Allah memberi kita akal untuk berfikir, Allah memberi kita masa untuk memanfaatkan, Allah memberi kita kesihatan untuk bergerak laju, Allah memberi kita segala-galanya supaya kita mengembalikan diri kita hanya untuk-Nya.

Manusia tidaklah sekali-kali dicipta dengan sia-sia. Manusia tidaklah dicipta dengan percuma! Tidak sekali-kali. Jika kamu rasa hidup ini adalah percuma, kamu adalah orang-orang yang rugi. Hidup kita berbayar, berbayar dengan ibadah kita, tenaga kita, harta kita, hanya kepada Allah swt. Bukan untuk diri kita semata-mata.

Jadi, apa yang kamu sedang lakukan sekarang ni? Adakah benar-benar menganggap hidup kamu percuma? Atau sekadar pinjaman?

Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? [23:115]

Wallahualam.

0 Shreks:

 
;