Mari Berdisiplin

Satu hari aku meminta tolong seorang sahabat membawa kereta. Saja, nak merehatkan diri dari memandu untuk seharian.

Jalan dalam UTHM ni banyaklah juga selekoh. Sahabat ni bawa saja macam biasa, bila tiba selekoh mesti masuk jalan orang. Sekali tak apa, masuk beberapa kali aku mula bersuara.

Kenapa masuk jalan orang ni?

Tak ada orang, jangan risaulah.

Bukan soal risau atau tidak, sebenarnya ini soal disiplin. Bila kita memandu, kena ikut peraturannya. Sepertimana kita sebagai umat Islam, maka wajib juga untuk kita mengikut undang-undang dan peraturan Islam. Boleh ke memberi alasan, Allah tidak nampak, jangan risau.

Disiplin adalah salah satu ciri yang perlu ada dalam diri seorang muslim. Tak kira dalam apa jua keadaan disiplin sangat penting. Kalau di kelas, disiplin kehadiran perlulah dijaga. Janganlah seminggu sampai 2 hingga 3 kali tak datang kelas, alasannya sibuk dengan kerja dakwah. Fitnah besar untuk agama. Alasan itu tidak boleh diguna pakai.

Susah bukan untuk menjaga disiplin? Sebagai seorang daie, disiplin adalah perkara yang penting dan bukannya perkara main-main. Biarpun ianya bukan dalam soal dakwah, tetapi kita sedang membawa imej Islam.

Andaikata kita yang membawa kereta, sengaja masuk jalan orang semasa selekoh (biasanya sebab bawa laju ketika selekoh), ada sahabat kita sedang berjalan kaki ternampak. Dalam fikirannya apa?

Pakai je tudung labuh, tapi bawa laju.

Bagaimana orang boleh kaitkan pemakaian kita dengan sikap kita. Bukankah ini fitnah buat agama kita yang sebenarnya suci dan menganjurkan umatnya sentiasa berdisiplin? Tidak perlulah kita nak mencanang-canangkan disiplin yang besar-besar, yang kononnya orang lebih nampak untuk menilai, tetapi biarlah kecil mana sekalipun, kita tetap membawa imej Islam dimana sahaja. Inilah dakwah kita, dan ini salah satu cara kita mengajak orang kepada kebaikan.

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah Maha Mengetahui siapa yang mendapat petunjuk. (16:125)

Mudah bukan untuk membuat baik?

Sedarlah, teguran ini untuk diri sendiri yang masih jauh dari kesempurnaan. Banyak juga ciri-ciri individu muslim yang belum terlaksana dalam diri. Kita manusia lemah dan sentiasa dalam kedhaifan. Maka, teruslah perbaiki diri untuk mencapai redha Allah. Biarlah lambat, tetapi usaha yang bersungguh dan berterusan itu InsyaAllah ada nilainya. Yang penting, jangan terus-terusan melanggar ilmu disiplin walau dimana sahaja kita berada, walau tiada manusia yang menilai, walau tiada mata yang memandang, tetapi 'mata' Allah sentiasa memerhati perbuatan kita.

Menjaga disiplin bukan untuk orang lain, tetapi untuk kebaikan diri sendiri. Apabila kita sudah biasa mendisiplinkan diri dalam kehidupan harian, InsyaAllah disiplin antara kita dan agama Allah juga mampu dijaga dengan baik.

Mari muhasabah. Sejauh mana kita menjaga disiplin harian kita?

Wallahualam.

0 Shreks:

 
;