Sumber Kekuatan

Salam.

Kita sering diuji, bahkan ujian tidak akan berhenti hanya selepas beberapa kali diuji. Malah, ujian itu adalah titik permulaan kepada setiap episod kehidupan kita. Daripada ujian itu kita banyak belajar, kita mula perbaharui, kita sudah pandai menilai, dan pelbagai lagi perubahan mampu berlangsung melalui ujian-ujian milik Allah itu.

Kadang-kala, kita tersungkur dek ujian yang sama. Malu rasanya, kita pernah gagal pada ujian pertama, kemudian ujian yang sama melanda, kita gagal lagi. Celakalah orang-orang yang gagal kerana kesilapan yang sama berulang kali.


Ya, aku pernah gagal dalam ujian Allah beberapa kali. Paling sedih, ujian itu sama berulang-ulang kali. Ya Allah, terasa hina dan kotornya diri ini kerana tidak mampu mengambil ibrar dari kesilapan yang sama. Entah syaitan mana yang menghasut, entah syaitan mana yang bergayut dihati ini. Seolah-olah tidak nampak NUR yang pernah terasa suatu ketika dahulu. Itulah manusia, bila tidak istiqamah.

Kita hamba, tidak pernah berasa syukur dengan nikmat iman yang tidak terhingga. Kita diberi peluang oleh Allah untuk menikmati keindahan dan kecantikan iman, tetapi kita memilih untuk tidak terus hidup bersama iman. Kita rela membiarkan iman pergi jauh dari pandangan mata, sedikit demi sedikit. Walhal, hati kita memang gersang dan memerlukan iman setiap masa. Akhirnya, kita hidup tanpa ketenangan kerana melebihkan keinginan daripada keperluan.


Allah mencampakkan dua laluan untuk kita, saban hari. Kebaikan atau keburukan. Allah kurniakan akal untuk kita supaya berfikir, baik atau buruk yang kita inginkan sebagai laluan hidup kelak. Kebanyakan kita, tertipu dengan keburukan yang samar-samar. Nampak macam baik, tetapi buruk ada sikit. Sedangkan, Allah telah mengingatkan kita, jauhilah perkara-perkara yang tidak jelas. Barangkali, ianya lebih kepada keburukan atau kemudaratan diri. Begitulah manusia, tidak sanggup menghadapi risiko yang panjang. Sedangkan, Rasulullah melalui saat-saat yang getir dalam tempoh yang panjang. Apakah kita sehebat Rasulullah sehingga merasakan kita tidak perlu lalui duri-duri dunia?

Hari ini, Allah menguji dengan kesenangan dan nikmat yang berganda-ganda. Subhanallah. Benar kuasa itu milik Allah. Benar rezeki itu rahsia Allah. Sekali terbongkar, itulah hikmah yang tidak tergambar nilainya. Tetapi, ada saja rasa tidak kena. Kerana apa? Kerana syaitan itu sentiasa membisik-bisikkan kejahatan didalam diri kita. Hati mula mempertikaikan, apakah ini saja yang Allah beri? Sepatutnya, kita perlu bersyukur dengan sekurang-kurangnya ada sesuatu yang Allah beri daripada tak ada apa-apa. 

Banyak yang kita doakan saban waktu, untuk diri sendiri. Kita berharap Allah dengar rayuan kita. Kita berharap, Allah kabulkan permintaan kita. Kita berharap, Allah perkenankan hajat kita. Ya Allah, aku terus berharap. Aku terus berharap. Aku terus berharap. Berharap agar Engkau berikan yang terbaik walau apa pun pemberian itu.


Doa aku, moga ujian-ujian Allah ini mampu aku jadikan sebagai salah satu sumber kekuatan. Benar, sebagai seorang daie, sepatutnya kesibukan memberi kita lebih ruang untuk membenarkan waktu untuk Islam. Sedangkan ketika lapang, kita terlalu selesa sehingga terabai tanggungjawab yang hak.

Wallahualam.

0 Shreks:

 
;