Semangat Y Konsisten

Salam.

Kadang-kadang, kita terlalu meletakkan harapan yang tinggi pada seseorang. Kita berharap dan terus berharap agar dirinya yang berpotensi itu mampu digerakkan lebih jauh lagi. Tetapi, kadang-kadang juga harapan kita diluahkan secara keterlaluan sehingga tidak kena pada tempatnya. Sayangnya jika luahan sebegini akan menjarakkan lagi hubungan diri mereka dengan kita.


Aku juga ada harapan, harapan supaya adik-adikku akan terus mara dan bergerak kerana Allah, dan berehat tanpa melupakan Allah Tuhan Yang Satu. Tidaklah pula aku meluahkan keinginan yang mendalam supaya mereka mengikut rentak aku. Itu bukan caranya, itu bukan jalannya. Apa yang terbaik, cuba fahami mereka terlebih dahulu. Hati manusia ini berbeza, baik lelaki mahupun perempuan, mereka bukannya haiwan tidak pernah terguris perasaan sedikitpun. Kita perlu akui, mereka masih lemah dan mentah dalam dunia dakwah dan tarbiyah. Sedangkan penggerak kita sendiri ada pasang surutnya dalam dunia dakwah, apatah lagi adik-adik yang baru ingin mengorak langkah.

Suka aku ceritakan kisah-kisah sahabat-sahabat seperjuangan pada adik-adik baru supaya mereka dapat lihat betapa hari ini kita amat sukar untuk temui insan-insan yang sentiasa mengingati Allah, sentiasa memikirkan jalan untuk berdakwah, lidahnya sentiasa memuji dan bersyukur pada Allah, Subhanallah. Mereka ini sering aku sebut-sebutkan agar boleh dijadikan contoh kelak. Jika mereka berat untuk menerima, janganlah dihentam bagaikan dosa tidak menerima itu lebih berat dari dosa menfitnah.

Hari ini, kita lihat ramai insan-insan yang semangat juangnya sungguh mengkagumkan. Keinginannya untuk menyebarkan agama Allah itu tidak pernah luntur bahkan saban hari ianya meluap-luap bagai gunung berapi yang tidak sabar melepaskan lavanya. Tetapi, kita perlu ingat. Apa gunanya semangat yang membara itu hanya muncul sekali-sekala sahaja, sedangkan hari-hari lain semangat itu hilang, semangat itu patah tiba-tiba, maka sahabat yang lain pula terkena tempiasnya. Mana hamba Allah yang bersemangat itu? Kenapa tiba-tiba menghilang diri?


Jadi, biarlah semangat itu berpada-pada supaya ianya konsisten setiap masa dan bukan pada masa-masa tertentu sahaja. Jangan pula kita terlalu merasa, kita telah melakukan segalanya sedangkan orang disekeliling kita terlalu ambil mudah. Jangan sesekali menganggap kita lebih banyak bergerak berbanding orang lain. Jangan fikir begitu! Jangan sesekali! Kerana semua itu datangnya daripada syaitan. Orang yang bijak adalah orang yang tidak pernah melaung-laungkan amalan yang dibuat lebih banyak daripada yang lain, orang yang bijak juga tidak perlukan ayat simpati begitu.

Ini adalah peringatan buat aku, peringatan buat diri sendiri yang pernah jatuh, peringatan untuk insan lemah dan hina seperti aku, peringatan buat manusia yang sering mengabaikan tanggungjawab dan sering merasakan diri mereka sudah cukup mantap sehingga layak menjatuhkan orang lain, SEPERTI aku.

Wallahualam.

0 Shreks:

 
;