Rindu IMAN

Salam.

Suatu hari semasa usrah, naqibah aku ada beritahu bahawa salah seorang sahabatnya pernah berdoa, bunyinya lebih kurang begini..

Ya Allah, andai kejayaan mampu membuatkan aku jauh daripada-Mu, maka, janganlah Engkau berikan kejayaan padaku.

Masya Allah, Subhanallah. Betapa utuhnya iman dan cintanya pada Allah sehingga begitu sekali doa yang dipohonkan. Sedangkan kita, saban hari mengharapkan kejayaan yang tidak putus-putus. Berkeluh kesah jika ditimpa kegagalan, merintih pada Allah apabila kejayaan yang diharap-harapkan tidak kunjung tiba. Betapa ceteknya iman ini, betapa hinanya diri ini, betapa jauhnya aku dari perasaan syukur.

Pokoknya aku mula merindui sahabat-sahabat lama, mereka yang pernah menuntut ilmu bersama-sama di kampus. Mereka yang tidak pernah jemu melayan dan dilayan sebagai seorang sahabat. Mereka yang rajin berjalan ke sana ke mari. Oh, terasa indahnya dunia ketika itu.

Boleh saja aku memilih untuk bersama-sama dengan mereka hari ini. Tetapi, aku memilih untuk tidak. Aku memilih untuk tidak terus bersama-sama dengan mereka kerana matlamat dunia lebih besar dari matlamat akhirat. Tiada lagi keseimbangan, tiada lagi peringatan. Aku yang dulu mengingatkan, sudah lupa untuk diingati. Maka, apakah salah memilih jalan hari ini?


Baru aku sedar, aku bersyukur! Teman hari ini, sentiasa mengingatkan dan menegur. Teman semalam, sentiasa melalaikan bahkan mengajak kepada kealpaan. Oh Allah, ampuni aku kerana pernah melupakan-Mu. Sesungguhnya, rindu hari ini, adalah rindu NAFSU. Padahal rindu semalam, adalah rindu IMAN.

Oh Iman, janganlah pergi jauh. Duduklah seketika menemaniku, duduklah sebentar untuk beberapa ketika, duduklah Iman.

0 Shreks:

 
;