Hati Kelaparan

Kenapa Allah suruh kita tidak menceritakan aib sendiri kepada orang lain?

Banyak hikmahnya, Subhanallah. Salah satunya mungkin aib itu mampu memudaratkan atau meretakkan hubungan persaudaraan. Sayangnya, persahabatan yang telah lama terbina, retak hanya kerana kisah-kisah silam yang diceritakan mungkin oleh diri sendiri, atau orang lain.

Eloknya, simpan sahaja. Jika hari ini mereka boleh menerimanya, esok lusa belum tentu mereka mampu menahannya. Semua kisah yang tidak baik akan diungkit-ungkit, bahkan menjadi bahan penghinaan kepada sahabat sendiri. Sedih bila keadaan begini terjadi. Apakah benar sayang seorang sahabat sanggup berbuat demikian? Jika diungkit untuk tujuan mengingatkan, tidaklah menjadi kesalahan. Tetapi, kalau dihempas-hempas ungkitan itu, mestilah terasa sakitnya.

Hati itu milik Allah, jika kita tidak menjaganya, ia juga tidak mampu menahan daripada berbuat jahat atau mengungkit-ungkit kisah buruk sahabat. Hati juga memerlukan makanan, jika ia lapar, ia akan memberontak dengan nafsu. Makanan hati adalah zikrullah, maka basahkan lidah dengan kalimah-kalimah Allah sentiasa. Moga hati bersemangat untuk menaikkan iman dan taqwa kita.

Seorang sahabat pernah menegur, "kau ni pandai nak mengingatkan orang, tapi diri sendiri tak pernah nak diingatkan." Tersentap juga. Cukup-cukup sakit dikatakan begitu. Aku terkedu juga. Tetapi, aku betul-betul tidak sedar semua itu. Yalah, walaupun hari-hari kita muhasabah diri, kita cuba perbaiki diri, kita baca buku yang baik-baik, kita cuba perbaiki mutabaah amal, cuba laksanakan mutabaah dakwah, tetapi keburukan kita tetap orang masih nampak. Astaghfirullah. Betapa hinanya aku. Betapa kotornya aku. Terasa macam terlalu banyak lagi jahiliyah dalam diri yang belum diperbaiki.

InsyaAllah, aku sedang cuba.

Hari demi hari, memang sedih. Kita cuba untuk ambil kata-kata itu sebagai pendorong, pencabar untuk jadi yang lebih baik. Buktikan yang kita cuba sedaya yang mungkin untuk perbaiki diri. Tak apalah kalau mereka tidak nampak hasilnya, sekurang-kurangnya Allah tahu usaha yang kita buat. Setiap malam aku merintih, memohon petunjuk Allah. Apakah yang cuba ditunjukkan? Apakah yang Dia sedang lakukan untuk hidup ini? Entahlah, aku sendiri masih tertanya-tanya. What's next?

Akhir-akhir ni macam-macam Allah uji. Minggu lepas, kerenah adik-adik usrah yang cukup menyakitkan. Tetapi, Subhanallah, Allah itu Maha Penyayang. Allah itu Maha Pengasih. Segalanya masih berjalan dengan baik. Aku berharap, Allah ampuni aku kerana sifat tidak sabar yang ada dalam diri ini mampu dikurangkan.

Hari ni pula, adik-adik di tempat tuisyen buat perangai. Aku rasa nak marah. Mula-mula boleh sabar, makin lama makin naik lemak. Aku tahu, masa tu muka aku dah panas, tahan marah punya pasal. Apalah nak jadi dengan budak-budak tu. English tak pandai, tapi taknak cuba fokus masa aku mengajar. Itu baru benda basic, pun taknak ambil tahu. Bila suruh buat latihan, tak faham. Penat nak kena ulang 3-4 kali.

Minggu lepas dan minggu ni, adalah saat-saat genting. Hati diuji, iman teruji. Ya Allah, hanya Engkau yang mengerti.

Wallahualam.

0 Shreks:

 
;