Double-Standard.

Bismillah.

Pernah tak kita dengar akhawat/ikhwah yang 'double-standard' dalam ikhtilat? Contohnya, akhawat bila dengan ikhwah dia malu-malu, tapi bila dengan lelaki di luar sana hilang pula rasa malunya. Begitu juga sebaliknya untuk ikhwah. Sayapun berfikir, mungkin saya juga tergolong dalam gelaran 'double-standard' itu?

Saya ada masalah komunikasi dengan lelaki sejak kecil-kecil melati lagi. Jadi, ianya terbawa-bawa sehinggalah menempuh alam pekerjaan hari ini. Selagi ianya LELAKI saya pasti bermasalah dalam berhadapan, ataupun melalui panggilan telefon. Tak kisah siapa lelaki tersebut, rakan sekelas, rakan sejemaah, rakan sepasukan, rakan sekelab, rakan sekerja, bos, pensyarah, selagi mereka itu lelaki saya sukar berkomunikasi. Saya rasa macam ada hijab antara dua. Tetapi, ianya menjadi mudah apabila saya terpaksa berhadapan dengan mereka setiap hari, dan setiap masa. Adakah ini yang dikatakan 'double-standard'?

Ketika masih dalam pengajian diploma beberapa tahun yang lalu, saya di 'benci' lelaki. Sebab saya ada masalah komunikasi dengan lelaki. Saya kasar dengan lelaki. Jadi, saya di jauhi oleh golongan mereka. Jadi, sepanjang diploma, rakan-rakan saya kebanyakannya perempuan.

Selepas diploma, saya bekerja. Di tempat kerja, saya hanya bergurau-senda dan berborak hanya dengan pekerja wanita. Gurauan pekerja lelaki hanya di balas dengan senyuman tanpa borak yang panjang. Begitulah 8 bulan berlalu.

Ketika masih dalam pengajian sarjana muda, segalanya berubah. Bukan saya yang berubah, tapi keadaan yang berubah. Saya masih seperti dulu, kasar dengan lelaki. Tetapi yang pelik, hairan dan ajaibnya, kawan-kawan lelaki saya bertambah dari masa ke semasa. Saya masih rasa saya ada masalah komunikasi dengan mereka, tetapi mereka buat tak tahu je. Bila ada masalah, cari saya. Bila ada sesuatu, cari saya. Bila perlukan apa-apa, cari saya. Biasanya mereka cari saya bukan sebab hal peribadi, tetapi hal belajar. Adakah ini yang dikatakan 'double-standard'?

Saya ingat lagi ketika saya kemalangan. Saya membuat panggilan kepada rakan-rakan perempuan saya yang ada kereta, tak ada seorangpun yang angkat panggilan saya. Akhirnya, saya terpaksa membuat panggilan kepada rakan lelaki sekelas saya. Kesian dia, sedang tidur terpaksa layan saya. Dia bergegas ke tempat kemalangan saya dan bantu dari awal sampailah selesai. 2 orang rakan sekelas lelaki yang membantu. Terima kasih. Saya raikan juga rakan-rakan sekelas yang lain turut membantu sepanjang proses pembaikan kereta berlangsung.

Inilah dalam sejarah, 2 tahun dalam pengajian saya mempunyai ramai kawan-kawan lelaki. Saya bukan nak bangga, tetapi sepenjang saya kenal mereka, Allah memberi peluang saya mengenali orang-orang yang belum memahami Islam sepenuhnya. Tak sangka. Nampak biasa, tetapi di sebalik 'biasa' itu rupanya ada masalah sosial yang sukar kita terima sebab kita dah berkawan dengan mereka. Ada golongan merempit, ada golongan penagih dadah, ada golongan 'playboy', ada golongan bawa perempuan balik rumah, ada golongan se* bebas. Susah nak percaya, tetapi itulah hakikat rakan-rakan lelaki yang saya kenal sepanjang belajar. Mungkin mereka tak tahu yang saya tahu, tetapi saya cuba mendoakan dan bantu fahamkan mana yang perlu difahami.

Jangan salah faham, saya bukan menjalinkan hubungan baik dengan setiap dari mereka. Iyalah, ada yang gelar saya singa betina sebab garang sangat, ada yang telinga bernanah kena perli pasal rokok. Saya rasa merekapun dah lali, sampai ada yang merokok tak berani depan saya. Saya ada sikit laser bila dengan lelaki, kadang-kadang lelaki yang baikpun jadi mangsa. Jadi, saya tahu masalah sosial merekapun melalui sumber-sumber yang dipercayai kerana antara mereka ada beritahu ingin berubah. Jadi, hairanlah kita nak berubah macamana? Rupanya 'ubah' itu mempunyai maksud yang mendalam, ubah daripada kejahilan yang saya tidak tahu dan saya tidak nampak. Ralat juga sebab saya tak mampu bantu mereka, saya hanya buat usrah dan bantu sahabat-sahabat sejantina sahaja.

Kerja banyak sebenarnya dalam penyebaran dakwah, tapi kakitangannya sangat kurang. Di tempat belajar saya dulu, lagilah kekurangan kaki dan tangan. Saya mendoakan sahabat-sahabat saya ni semua berusaha untuk berubah jadi yang lebih baik. Hari ini, saya tidak tahu mereka di mana kerana kami telahpun membawa haluan masing-masing.

Tetapi, saya tidak kenal mana-mana ikhwah dalam jemaah yang sama. Kalau kenalpun mungkin kurang dari 20 orang hanya dengan nama dan rupa. Atau mungkin rupa kenal nama tak tahu, dan nama pernah dengar muka tak kenal? Saya ada masalah komunikasi, jadi saya bekerja di sebalik tabir. Dah lama rasanya tak menggerakkan kerja dakwah bersama ikhwah, sebab sekarang semuanya asing. Akhawat dan akhawat, ikhawah dan ikhwah.

Semoga jentera dakwah ikhwah lebih laju kerana ramai remaja lelaki di luar sana perlukan sentuhan.

Wallahualam.


0 Shreks:

 
;