Hari-hari Ramadhan

Salam alaik.

Moga pembaca sekalian dalam kedaan terburu-buru mengejar hari-hari terakhir Ramadhan yang bakal pergi tidak lama lagi. Terasa sayu dan sedih apabila mengenangkan bahawa kita terpaksa menunggu 11 bulan lagi untuk berjumpa semula dengan Ramadhan Kareem. Entah berkesempatan, entah tidak. Moga Allah sentiasa membuka ruang dan memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan bulan mulia ini lagi.

Istiqamahlah dengan amalan-amalan yang sedang kita lakukan di bulan mulia ini. Peringatan buat diri sendiri yang selalu lupa. Apatah lagi, cabaran di bulan-bulan mendatang pasti lagi hebat dengan peperangan yang bakal bermula seawal malam Syawal. Sungguh malam itu pasti datang, sungguh malam itu pasti teruji, sungguh malam itu adalah peperangan awal kita dengan iblis. Pasti mereka bersorak kegembiraan kerana ramai di antara kita tidak pernah terkesan dengan didikan Madrasah Ramadhan (nauzubillah) alangkah ruginya.

Jika setiap masa sepanjang Ramadhan kita mampu menjaga lidah, maka teruslah menjaga lidah dari berkata yang sia-sia. Sesungguhnya itu lebih baik daripada bercakap sesuatu yang tidak manfaat untuk diri sendiri dan orang lain.

Jika sepanjang Ramadhan kita suka dan kerap bertadabbur untuk menghidupkan malam Ramadhan, maka sentiasalah mentadabbur ayat-ayatNya walaupun tiada lagi malam Ramadhan kelak. Sesungguhnya itu lebih baik daripada membaca tanpa mengetahui makna-makna ayat di dalam al-Quran.

Jika setiap pagi Ramadhan kita sentiasa melakukan qiam, maka janganlah dihentikan amalan itu kerana sesungguhnya qiam adalah sumber kekuatan kita untuk terus istiqamah dengan amalan-amalan harian. Cubalah untuk terus bangkit di pagi hari untuk menghabiskan sedikit masa bersama Allah swt.

Dan amalan-amalan lainnya, jangan sesekali kita perlecehkan. Marilah terus berdoa dan berdoa agar diberi kekuatan untuk istiqamah dengan amalan-amalan yang sedang kita lakukan. Moga Allah memanjangkan umur dan dimurahkan rezeki agar pintu taubat dan pahala itu sentiasa berganda buat kita selama mana kita ikhlas melakukannya. Macam tak percaya lagi beberapa hari lagi Ramadhan akan pergi, dan aku belum puas menikmatinya lagi. Tinggal malam ni dan malam esok je. Sempatkah?

Selamat memburu malam-malam terakhir Ramadhan. Teruskan memburu sehingga titisan-titisan terakhir.

Wallahualam.

0 Shreks:

 
;